Mesti kalian pelik..awat pulak aku tiba2 pi tulih pasai cinta nie??
Sebelum baca entri kali ni..harap ready dgn tisu..(smbil lyn lagu dalam blog nie..)..and..I own nothing..just sharing…jgn harap aku nak tulis sebagus nie..haha..moga bermanfaat..
from a friend to friends…
cc : Hilal Asyraf of Langit Ilahi
MENGHARGAI FITRAH
Cinta ialah fitrah dan anugerah Allah, juga terkadang menjadi ujian buat kebanyakan hamba-Nya. Fitrah ini jangan pernah kita cuba untuk singkirkan, bimbang jiwa kita kosong dari mengerti nilai sebuah kebahagiaan yang tercipta oleh keajaiban cinta. Sejauh manapun kita berlari daripada mendengar kalimah ini, hakikatnya kita tidak boleh mendustai diri sendiri bahawa perasaan itu wujud di dalam hati setiap manusia.
Namun,andai kita bertuhankan cinta, hidup kita akan musnah dan rapuh. Berapa ramai hari ini yang sanggup membunuh diri sendiri kerana gagal dalam percintaan? Berapa ramai hari ini yang sanggup menderhakai Allah kerana mengagungkan cinta makhluk? Bukan sedikit yang seperti si Majnun, hilang kewarasannya kerana asyik dalam igauan cinta si Laila. Bukan sedikit yang seperti Zulaikha, tega menawarkan mahkota maruahnya lantaran tenggelam dalam lautan rindu dendamnya terhadap Nabi Yusuf s.a.w.
Cinta yang berpaksikan syariat tidak akan membiarkan kita hanyut dalam gelombang kecewa andai percintaan dibadai ujian. Cinta manusia hanya jalan dan alat untuk kita gapai cinta Allah, bukan matlamat sebenar kehidupan kita. Mahalnya nilai sebuah cinta itu bergantung kepada cara kita mentafsir dan menghargai fitrah ini.
KEMUDI HATI DI BAHTERA CINTA
Ibaratkan kita umpama kapten sebuah bahtera dan lautan sebagai metafora kehidupan yang penuh ujian. Kekadang, ombak menghempas bahtera yang dikemudi. Sesekali, bahtera kita terkena tempias sang ribut yang amat ganas. Perjalanan mengemudi sebuah bahtera akan sentiasa diuji dengan dugaan yang sangat mencabar. Cuba bayangkan andai kita sebagai kapten tidak membuat persiapan rapi sebelum mengemudi sebuah bahtera? Mampukah kita tiba ke destinasi yang ditujui dengan selamat jika kita tidak mengikut peta perjalanan sebagai panduan? Apa yang akan terjadi jika kita mengemudi bahtera tanpa dibawa bekal ilmu pelayaran? Bagaimana pula sekiranya kita sebagai kapten tiada fokus sepanjang perjalanan ini? Sudah tentu bahtera kita punya peratusan yang tinggi untuk musnah,tenggelam dan hanyut apabila badai ombak mengaum.
Peta perjalanan dianalogikan sebagai Al-Quran dan sunnah Rasulullah yang memandu perasaan cinta kita ke arah kebenaran . Ilmu pelayaran pula umpama ilmu agama yang menjadi benteng buat diri agar tidak dirasuk cinta murahan yang jauh dari keberkatan Allah. Tanpa kedua-dua bekalan ini, kita tidak punya kekuatan untuk mengurus rasa cinta yang hadir bertunjangkan ajaran agama kita yang sebenarnya.
MENERIMA LAMARAN CINTA
“Akak, nak tanya sesuatu boleh tak?” fokus yang diberikan pada buku beralih arah seketika.
“Tanya je... “ jawab penulis sambil memandang wajah adik bimbingan usrah itu yang berkerut kerisauan.
“ Ada orang bagi hadiah kat saya...budak lelaki yang bagi...ape pandangan akak?”
“Sebelum akak beri pandangan akak, akak nak tanya kamu sendiri sebagai seorang yang banyak menghafal al-Quran ...apa yang kamu rasa sekarang? Kamu rasa apa yang sepatutnya kamu buat?”
“Saya rasa serba salah...saya nak pulang balik hadiah tu...”
“Ok la...akak nak berkongsi sesuatu dengan kamu...akak masih ingat lagi masa akak form 1, dalam satu kuliah subuh, seorang ustaz beri tazkirah melarang acara tukar hadiah melibatkan lelaki dan perempuan. Ustaz tu huraikan hadith yang mana saling memberi hadiah akan menambahkan kasih sayang antara satu sama lain. Dan pada pandangan akak sendiri, kalau kita sebagai perempuan menerima hadiah lelaki ajnabi yang kita kenal, sebaiknya kita pulangkan dengan baik ..bimbang2 lama2 kita akan ‘rasa simpati, belas kasihan dan kasih sayang’ dengan lelaki tu...”
“ Kawan saya cakap terima je, kesian orang dah bagi..”
“Terpulang pada kamu nak berprinsip apa pun. Cuma, prinsip atau guideline yang akak bagi ni insya-Allah jalan yang terbaik untuk kita menjaga hati dari terfitnah. Seorang perempuan ada 9 emosi dan 1 rasional...cuba kamu bayangkan bila kamu simpan, pakai hadiah yang diberi, lama-kelamaan ‘si dia’ tu akan perasan yang kamu juga ada hati pada dia, dan mungkin....makin banyak hadiah, surat2 yang kamu akan dapat...sampai satu masa, akan membuka jalan kamu ber’couple’...mencegah lebih baik daripada merawat...”
“Macam mana saya nak pulangkan hadiah ni?”
“Apabila melibatkan soal hati dan perasaan, sebaiknya pastikan ada orang tengah yang soleh atau solehah untuk berhubung. Pesan Nabi , bila berdua-duaan antara lelaki dan perempuan tak kesahla dari macam mana jenis pun jalan berhubung-sms, chat, skype,telefon...akan ada yang ketiga...itulah syaitan yang akan sentiasa berusaha untuk menghasut manusia agar jauh dari Allah. Dalam soal urusan tugas, kerja atau belajar pun kita sentiasa diingatkan agar bawa bersama teman,apatah lagi soal hati dan perasaan....pastikan bila kita berhubung dengan lelaki ajnabi, ada yang tolong semakkan sms, chat dan email...kalau nak pulangkan hadiah tu, akak rasa mintak tolong kakak-kakak naqibah, beri secara baik ,jangan mengaibkan...”
“Terima kasih akak..”
“Sama-sama... mahalkan diri kita...jangan mudah jatuh cinta...”
Pesan Nabi , bila berdua-duaan antara lelaki dan perempuan tak kesahla dari macam mana jenis pun jalan berhubung-SMS, chat, Skype, telefon...akan ada yang ketiga...itulah syaitan yang akan sentiasa berusaha untuk menghasut manusia agar jauh dari Allah.MEMULIAKAN DIRI
Islam meletakkan garis panduan yang terperinci dalam soal cinta. Tiada ‘percintaan’ sebelum pernikahan. Kriteria utama yang harus diukur dalam memilih ‘si dia’ ialah agama dan akhlak. Bagaimana ‘si dia’ menjaga agama-rukun Islam, rukun Iman dan syariat Allah? Bagaimana ‘si dia’ memelihara akhlaknya dengan ibu bapa, ikhtilatnya dengan ajnabi dan adab-adabnya dengan masyarakat. Dalam kita mengukur dan menilai ‘si dia’ itu, refleksi diri kita bersama dengan muhasabah- bagaimana pula dengan agama dan akhlak kita? Seorang ustaz pernah berkata bahawasanya proses pendidikan seorang anak bermula dari saat memilih ibu dan ayahnya. Dek kerana itu, soal cinta tidak wajar dipandang remeh. Ia melibatkan maruah dan keturunan kita hingga ke hari akhirat.
Selain itu, Islam juga meraikan adat yang tidak bercanggah dengan syariat. Lamaran, peminangan dan pertunangan dimuliakan wali sebagai pengantara. Semua ini jangan dipandang sebagai kesulitan dan sesuatu yang ekstremis, sebaliknya ini ialah kemuliaan dan harga sebuah cinta.
CINTA KERANA ALLAH
Sedalam mana kita mengerti tafsiran sebuah cinta kerana Allah? Orang yang ikhlas mencintai kerana Allah tidak akan membiarkan insan yang dicintainya lalai dengan ‘sms’ atau ‘surat-surat’ yang lagha. Orang yang tulus menyayangi ‘si dia’ kerana Allah akan berusaha menjaga diri dari sesuatu yang bisa menjarakkan diri daripada Allah. Pernikahan yang bahagia berlandaskan cinta kerana Allah ialah sebuah pernikahan yang dihampiri dengan jalan-jalan membina takwa dan rasa takut akan Tuhan Yang Maha Melihat, bukan dengan jalan-jalan yang mendekati zina.
ISTIKHARAH ITU JALAN
Dalam meniti alam keremajaan, mungkin ada antara kita yang larut dalam perasaan. Sehingga waktu belajar, fokus hilang dan hanyut dalam cinta yang penuh angan-angan. Sehingga ketika bekerja, emosi mengatasi profesionalisme. Sehingga apabila membezakan antara kebenaran dan kebatilan, akal tidak lagi berfikir rasional untuk mempertahankan kebenaran.
Sudahlah, marilah kita kembali pada Allah, Pencipta segala cinta. Beristikharahlah tiap kali dihembus bayu cinta, agar Allah akan sentiasa melindungi hati dan jiwa serta memimpin diri kita agar bisa mengurus anugerah ini mengikut alunan keredaan-Nya. Mintalah nasihat daripada orang alim yang tinggi ilmu agamanya seperti ustaz dan ustazah supaya setiap tindakan yang kita putuskan dalam mengurus cinta direstui oleh Allah dan Rasulullah. Hargailah fitrah cinta dengan bersendikan cinta dan redha Allah, nescaya Allah tidak akan mensia-siakan hidup kita dari mengecap nilai cinta sampai ke syurga.
Percayalah, Allah ialah Tuhan yang memegang hati manusia dan Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Menyerahkan cinta utama kepada Allah pasti akan membuka ruang dan jalan untuk kita menemui cinta insan yang juga merantai jiwanya kepada Allah. Doa yang kudus kita pohon pada Allah ialah penghubung paling utuh untuk kita ketemu cinta sejati.oleh : Nurshail
p/s : Letaklah chenta kepada Allah yang utama..kerana sungguh..Dia tak akan mengeciwakan hamba-Nya!!
To someone..thanks sbab sudi manfaatkan blog saya untuk menyebarkan dakwah2 anda!
No comments:
Post a Comment